Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berucap pada Perhimpunan Bulanan bagi April 2024 di Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 APRIL 2024.

PUTRAJAYA – Selain memberikan tumpuan kepada kes-kes jenayah semata-mata, Jabatan Bantuan Guaman (JBG) disaran untuk memberikan khidmat guaman yang lebih menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, satu mesyuarat peringkat kebangsaan akan diadakan bagi merencanakan hala tuju baharu jabatan tersebut.

“Jadi kita kena membuat perubahan dasar pada elemen bantuan guaman kes sivil dan jenayah memandangkan ketika ini hanya kes jenayah diberi tumpuan utama.

“Kebiasaanya, JBG terbabit dalam kes reman. Justeru, kita kena buat kajian bersama dengan Majlis Peguam Malaysia sama ada bantuan guaman itu diberikan pada peringkat mana termasuk ketika masuk mahkamah, perbicaraan, pertuduhan atau reman,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri perhimpunan bulanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), di sini, hari ini.

Langkah itu katanya, perlu bagi memastikan jabatan tersebut tidak hanya tertumpu kepada bantuan guaman bagi kes tuntutan cerai sahaja.

“Inilah yang saya nak JBG pada hari ini memainkan peranan tersebut. Takkanlah bantuan guaman setakat sibuk kes cerai berai syariah sahaja,” katanya.

Sementara itu, Azalina berkata, perencanaan hala tuju baharu bantuan guaman penting bagi memastikan perbelanjaan kerajaan sama ada kes jenayah atau sivil dilihat berbaloi. – MalaysiaGazette