Saw Kee didakwa di Mahkamah Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU – Seorang jurujual dihukum penjara 10 tahun dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyimbah air panas ke atas seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) pada Jumaat lalu.

Tertuduh, Oo Saw Kee, 39, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairudin.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas A. Solairaj, 33, menggunakan sebuah botol air mengandungi air panas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam lif No. 2, Apartmen I-Park, Jalan Rajawali, Bayan Lepas dekat sini jam 9.24 pagi pada 19 April lalu.

Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail sebelum itu memohon agar tertuduh dihukum dengan berat memandangkan kes itu serius dan mendapat perhatian masyarakat kerana tular di media sosial.

Mohd Nordin berkata, mangsa yang menghidap Sindrom Down dan masalah pembelajaran tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian tanpa perikemanusiaan sehingga trauma.

Sementara itu, tertuduh yang tidak berkahwin dan mempunyai pendapatan RM1,500 sebulan memohon dikenakan hukuman ringan kerana telah insaf atas perbuatan itu.

Hakim Ahzal Fariz menjatuhi hukuman itu selepas mengambil kira kepentingan awam dan untuk memberi pengajaran kepada masyarakat dan tertuduh.

Mahakmah turut memerintahkan dia dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kata beliau, mahkamah mendapati perbuatan itu adalah satu tindakan kejam, apatah lagi tiada sebarang provokasi dibuat oleh mangsa.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki OKU melecur pada badan selepas disimbah air panas semasa berada di dalam lif apartmen bersama suspek wanita.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Susperintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan mendapati suspek bertindak sedemikian kerana perselisihan faham lama dengan mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast