Kanak-kanak dua tahun yang terperangkap dalam kereta berjaya diselamatkan dan diberikan rawatan kecemasan oleh APM dalam kejadian di Bukit Bintang malam tadi. Ihsan APM

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak yang terperangkap hampir setengah jam dalam kereta telah diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Kejadian tersebut menimpa kanak-kanak berusia dua tahun itu di Jalan Bukit Bintang, di sini, semalam.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Leftenan (PA) Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan daripada bapa kanak-kanak tentang kejadian itu pada jam 8.55 malam.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan penyelamat APM dari Kuala Lumpur dikejarkan ke lokasi kejadian dan menyelamatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam kereta.

Anggota APM terlibat dalam kerja menyelamatkan kanak-kanak berusia dua tahun yang dipercayai terperangkap setengah jam dalam kereta bapanya selepas pintu terkunci secara automatik dalam kejadian di Jalan Bukit Bintang, KUala Lumpur malam Isnin.Ihsan APM

“Pintu kereta terbabit berjaya dibuka kira-kira 10 minit kemudian dan kanak-kanak berkenaan berjaya dikeluarkan dengan selamat,”katanya.

Tambah beliau, kejadian dipercayai berlaku apabila bapa mangsa tertinggal kunci kereta bersama anaknya dalam kenderaannya ketika menukar kain lampin pakai buang untuk anak kecilnya itu.

“Kemudian pintu kenderaan itu terkunci sendiri pada jam 8.30 malam sebelum pengadu yang bimbang tentang anaknya segera menghubungi APM pada jam 8.55 malam meminta bantuan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette