Dr Muhammad Khalid Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu sentiasa memantau ajaran yang telah difatwakan sesat oleh Jabatan Mufti Negeri daripada terus diamalkan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, selain ajaran Kerajaan Langit Ayah Pin, turut dipantau Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ialah ajaran Mohib Khouli dan Kanzun Makhfiyyan.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya ajaran ini terus disebarkan di negeri Terengganu mengikut Seksyen 10 (menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama) atau Seksyen 12 (pendapat yang bertentangan dengan fatwa),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Riduan Mohamad Nor (PAS-Jertih) pada sesi soal jawab lisan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri ke-15, di sini hari ini.

Dr Muhammad Khalil berkata, PPS JHEAT juga telah menerima beberapa aduan berhubung ajaran yang meragukan dan tindakan sewajarnya telah diambil berdasarkan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 dengan kesemua kes tersebut masih dalam proses risikan dan siasatan.

Sebelum ini, satu hantaran di akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’ mendakwa ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan kembali oleh gerakan pihak-pihak tertentu di sekitar Besut.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997. — BERNAMA