Gambar hiasan

JERTIH – Seorang penghantar barang maut selepas terjatuh ke dalam tali air dan dihanyutkan arus dalam kejadian di Kampung Gerai, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, kemalangan sekitar 8 malam itu dipercayai berlaku apabila Wan Muhammad Khuzaimie Abu Sepian, 24, hilang kawalan ke atas motosikal yang ditunggangnya jenis Yamaha Ego LC.

Beliau berkata, ketika kejadian Wan Muhammad Khuzaimie sedang menghala ke Kampung Gerai Tua untuk pulang ke rumah keluarganya dari Kampung Layout Gerai.

“Apabila tiba di tempat kejadian beliau telah hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan bahu jalan lalu terjatuh ke dalam tali air.

“Mangsa kemudiannya dihanyutkan arus sejauh satu kilometer dan akibat kemalangan tersebut mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA