Majlis Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024 (SRIM) yang diadakan malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 21 penerima terdiri daripada pencipta lagu, penghibur, kakitangan syarikat rakaman dan wartawan yang berdepan kesukaran hidup diraikan pada Majlis Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024 (SRIM) yang diadakan malam tadi.

Antaranya, penyanyi dan pemuzik seperti Roy Rauzan, Fredo Flybaits, Shuib Freedom, Isma Aliff, Azman Warren, Lord Lokman, Raja Zainal Bumiputra Rockers, Cico Harahap, Abass Abu Bakar, S Rohani, Toki, Mel Wings, Rosmansah, Zydee One Nation Emcees, Jessy dan Iskandar Spring.

Turut menerima adalah wartawan hiburan, Nas Ahmad, Ridzuan Abdul Rahman dan Huzz Kamaludin serta pegawai perhubungan, Rina Baharin dan Sariah Idris.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, acara anjuran kerjasama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Public Performance Malaysia (PPM) bersempena Aidilfitri ini adalah untuk memberi sokongan kepada pemain industri yang menghadapi masalah kewangan dan kesihatan.

“Terima kasih diucapkan kepada RIM dan PPM atas penganjuran program ini dan seterusnya memberikan sumbangan rahmah kepada artis dan penggerak industri kreatif yang berhadapan dengan kesukaran hidup, isu kesihatan dan sebagainya.

“Saya melihat bahawa inisiatif ini sejajar dengan hasrat kerajaan bagi memperluaskan lagi agenda kerajaan yang bukan hanya digerakkan oleh kerajaan semata-mata, tetapi juga pihak-pihak lain,” katanya.

RIM turut memberi pengiktirafan buat anak seni tempatan iaitu Ernie Zakri.

Pengerusi RIM dan PPM, Rosmin Hashim berkata, program amal yang dilancarkan pada 31 Mei 2023 itu adalah inisiatif bantuan Dana Keemasan RIM yang turut mendapat sokongan Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) tertua di Malaysia, PPM.

“Kami menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM100,000 untuk membantu penggiat industri muzik yang menghadapi masalah kewangan dan kesihatan. Ia bertujuan untuk menyokong kerajaan bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat termasuk penggiat industri muzik.

“Setakat ini, sejumlah 48 penggiat industri muzik tempatan sudah mendapat manfaat daripada program amal SRIM dan Dana Keemasan RIM.

“Program ini boleh memanfaatkan semua penggiat industri muzik daripada penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, pegawai perhubungan awam syarikat rakaman sehinggalah wartawan hiburan yang kesemuanya memainkan peranan penting dalam pembangunan industri muzik tempatan.

“Dengan penganjuran SRIM 2024 malam ini, kami meneruskan usaha kami untuk menyediakan bantuan yang amat diperlukan oleh penggiat industri muzik tempatan yang layak bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Program itu juga turut memberi pengiktirafan buat dua anak seni tempatan iaitu Ernie Zakri dan Dolla yang mencipta nama dan menempa kejayaan di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast