Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mungkin mempertimbangkan membatalkan Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90 pada 27 April ini berikutan kemalangan dua buah helikopter pasukan keselamatan itu pagi ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, helikopter terbabit terhempas di kawasan kolam renang dan kawasan stadium yang kosong.

Tambah beliau, ia merupakan raptai ketiga sempena sambutan tersebut sebelum nahas pada jam 9.23 pagi itu berlaku dan pihaknya akan mendapatkan laporan interim berhubung insiden tersebut.

“Soal laporan (siasatan nahas) itu kita akan tengok dulu. Laporan interim kita akan cuba buat seberapa segera mungkin dan kemudian akan ada laporan penuh.

“Semua akan ambil masa, saya tak nak cakap sekarang, nanti belum siap jadi persoalan kelak,” katanya selepas majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis, bekas Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam insiden tersebut seramai 10 anggota TLDM yang terlibat dalam Latihan Raptai sempena Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90 itu disahkan terkorban.

Beliau memberitahu, Kementerian Pertahanan juga akan menubuhkan Lembaga Siasatan oleh TLDM bagi mengenalpasti punca kemalangan tersebut.

Sementara itu, Mohamed Khalid yang mengucapkan takziah kepada keluarga anggota yang terkorban berkata, ahli keluarga mangsa yang berpengkalan di Sabah akan diterbangkan ke Lumut.

“Dari segi bantuan awal, pertama kita akan menenangkan ahli keluarga menghadapi dugaan, kerana tiada yang boleh diganti.

“Lain-lain ikut kebiasaan, apa sahaja bencana jika berlaku kita memang ada perkara-perkara dan sumbangan serta bantuan biasa disalurkan,” ujarnya sambil menambah mereka yang terkorban bertugas sama ada di Lumut atau Kota Kinabalu.

Jelas beliau, kesemua mangsa dikenalpasti berusia dalam lingkungan bawah 40 tahun dan mangsa dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Malaysia Pangkalan TLDM di Lumut

“Kesemua mangsa terdiri daripada Ketua Skuadron, pegawai dan lain-lain pangkat sementara sebarang maklumat mangsa biar kita maklumkan kepada keluarga,

Dalam pada itu, Mohamed Khalid berkata, beliau dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohamad Abdul Rahman akan ke Lumut untuk mendapatkan laporan mengenai insiden tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast