Home Nasional Allahyarham Mohammad Amirul Faris selamat dikebumikan

Allahyarham Mohammad Amirul Faris selamat dikebumikan

SENAWANG – Jenazah Allahyarham Mohammad Amirul Faris Mohamad Marzukhi yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Lumut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Forest Height malam ini.

Jenazah yang tiba di kediamannya di Taman Senawang Perdana pukul 9.08 malam tadi kemudiannya dibawa ke Masjid At-Taufiqiah untuk solat jenazah.

Lebih 1,000 jemaah termasuk ahli keluarga allahyarham hadir memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah termasuk balu allahyarham, Siti Aisyah Mohd Roslan serta dua anaknya, Umada Fayyadh dan Ammar Affan.

Turut hadir adalah bapa kepada allahyarham, Mohamad Marzukhi Hasan dan ibunya, Aminah Jamaluddin.

Ketika selesai upacara pengebumian, Aminah tidak dapat menahan sebak lalu menitiskan air mata sebaik jenazah anaknya sempurna disemadikan.

Allahyarham Mohammad Amirulfaris merupakan salah seorang daripada 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi dua helikopter pasukan itu yang bertembung sebelum terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak semalam.

Sembilan lagi yang terkorban ialah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T. Sivasutan (juruterbang Skuadron 502) serta Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502).

Mangsa lain Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin dan Kuartermaster Udara Skuadron 503 Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.

Tiga anggota wanita yang maut pula ialah Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dari Markas Udara TLDM, Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat) dan Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat). – MalaysiaGazette