Suasana di hadapan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh susulan tragedi dua buah pesawat TLDM terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR

IPOH – Proses bedah siasat semua 10 jenazah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terbabit dalam nahas dua helikopter yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dekat sini bersambung semula pagi Rabu.

Difahamkan, selepas ia dijangka selesai sekitar jam 2 petang, lapan jenazah Islam akan dibawa ke Kem Syed Putra atau Markas Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu DiRaja (23 RAMD) di Jalan Tambun, dekat sini untuk disolatkan dan diadakan istiadat khas penghormatan terakhir.

Selepas itu, kesemua jenazah berkenaan akan dibawa ke kampung halaman mengikut permintaan ahli keluarga masing-masing, hari sama.

Sementara dua jenazah bukan Islam iaitu mendiang Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dan Leftenan T Sivasutan masing-masing akan dibawa ke Kampung Engkaroh Tebakang Serian, Sarawak serta Taman Serdang Jaya,Sitiawan.

Berdasarkan maklumat yang diterima pemberita, Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad akan dibawa ke Felcra Bukit Kepong, di Segamat, Johor; sementara Pegawai Waran II, Mohd Shahrizan Mohd Termizi akan dibawa ke Lekir Indah, Batu 12 Lekir, Sitiawan.

Sementara Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun dan Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi masing-masing akan dibawa ke Kampung Tanah Hitam, di Sik, Kedah serta Taman Senawang Perdana, di Seremban, Negeri Sembilan.

Komander Muhammad Firdaus Ramli serta Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin pula, masing-masing akan dibawa ke Persiaran Pantai Jerjak 2, di Sungai Nibong, Pulau Pinang dan Bandar Tasik Puteri, di Rawang, Selangor, atas permintaan keluarga.

Di samping itu, Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy akan dibawa ke Kampung Banggol Jas, Rantau Panjang, di Selama, sementara Bintara Muda Nor Rahiza Anuar ke Perumahan Awam di Jalan Pantai Murni, di Yan, Kedah.

Terdahulu media melaporkan, dua helikopter TLDM terhempas ketika sedang menjalani latihan raptai Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, sekitar jam 9.30 pagi Selasa.

Nahas itu mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter jenis HOM-AW139 dan Fennec yang berlepas dari Padang Sitiawan. -MalaysiaGazette