Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Pahang menitahkan semua masjid di negeri itu melaksanakan solat jenazah ghaib susulan tragedi nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 mangsa.

Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menzahirkan rasa sedih dan dukacita berikutan tragedi tersebut.

“Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan rasa sedih dan dukacita berikutan tragedi nahas helikopter di Lumut, Perak pada Selasa, 23 April 2024.

“Salam Takziah buat waris dan ahli keluarga mereka yang terkorban,” dalam satu kenyataan.

Nahas yang berlaku di Kem Pangkalan TLDM di Lumut, Perak itu mengorbankan tujuh kri dan tiga penumpang dua helikopter HOM-AW139 dan Fennec jam 9.32 pagi semalam.

Kejadian itu berlaku semasa semua mangsa terlibat melakukan formasi penerbangan raptai lintas hormat. – MalaysiaGazette