S Sasikala Devi

SHAH ALAM – Soal siapa pemilik  sebenar bagasi berisi wang tunai kira-kira RM500,000 di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Damansara dekat sini, masih menjadi gagal dirungkai walaupun sudah sebulan berlalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk S. Sasikala Devi berkata, polis masih menunggu keputusan laporan forensik bagi menimbulkan cap jari pada beg tersebut untuk menentukan pemilik asalnya.

Katanya, setakat ini seramai 10 rakaman percakapan selesai direkodkan oleh polis termasuk seorang pemilik syarikat pembalakan kayu yang mendakwa wang setengah juta ringgit kepunyaanya.

“Polis tidak meletakkan tempoh atau had masa untuk tuntutan wang itu dan setakat ini  keterangan yang diperoleh masih belum memuaskan hati kita (polis).

“Jadi, kita masih menunggu keterangan lanjut (daripada individu lain) untuk saksi-saksi tampil menunjukan sumber sahih daripada mana sebenarnya wang itu diperoleh dan ia mungkin memerlukan masa (sebelum putuskan wang itu milik siapa),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai pwrkembangan terkini kes berkenaan sidang sidang media kejayaan rampasan dadah bernilai RM1.76 juta di KLIA2 di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau juga menambah, hasil rakaman awal mendapati wang itu dikatakan bagi memulakan perniagaan baharu.

Ketika ditanya sama ada wang itu berkemungkinan berkaitan dengan kegiatan pengubahan wang haram, beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pihaknya tidak boleh membuat kesimpulan segera ke arah itu sehingga siasatan selesai sepenuhnya.

Terdahulu media melaporkan bagasi berwana merah jambu dan putih itu ditemukan seorang pengawal keselamatan di tempat letak kenderaan pusat beli belah kira-kira pukul 8 pagi dalam kejadian pada 20 Mac lalu.

Susulan daripada penemuan beg berisi wang itu, polis meminta pemilik asal beg berkenaan supaya tampil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya bersama bukti yang menyokong mengesahkan hak milik wang tersebut.

Pada masa sama Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan seorang pengarah syarikat kayu balak telah tampil memberi keterangan kepada pihak polis pada 30 Mac lalu selepas mendakwa bagasi terbabit adalah miliknya.

Pengarah syarikat itu mendakwa bagasi mengandungi wang itu diambil dari rumah rakannya yang ingin memulangkan wang dipinjamkan tahun lalu untuk tujuan pelaburan.

Bagaimanapun, individu terbabit tidak membawa sebarang rekod dan bukti yang menyokong wang terbabit adalah milik syarikatnya semasa keterangannya direkodkan.-MalaysiaGazette