Tular di media sosial seorang lelaki memaki-hamun jurutol gara-gara tersekat kerana kekurangan baki dalam kad tambah nilai TnG.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas yang dikatakan memaki hamun dan mengugut jurutol dalam kejadian di Plaza Tol Segambut, Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (Duke) Ahad lalu dicari polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada mangsa berusia 20 tahun mengenai kejadian yang berlaku 11.15 malam itu.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku apabila suspek yang menaiki kereta jenis Honda Civic tidak dapat melepasi palang tol memandangkan baki dalam kad Touch ‘n Go (TnG) tidak mencukupi.

“Ia menyebabkan lelaki itu marah kemudian diberitahu mangsa (jurutol) untuk buat bayar ikut secara debit sebelum berlaku insiden seperti tular  di media sosial,” katanya selepas sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut Rusdi berkata, polis berjaya mengenal pasti identiti lelaki warga tempatan berusia 60 tahun yang merupakan pemilik kereta Honda Civic tersebut.

“Pemeriksaan terhadap pemilik kenderaan didapati butirannya sama dengan identiti suspek yang telah dikenal pasti dalam kejadian itu.

“Kita akan tangkap dan kesan suspek menggunakan pasukan operasi dan usaha dipergiatkan untuk menjejakinya,” tegasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang boleh menjatuhkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau densa atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan serta turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki memaki-hamun jurutol gara-gara tersekat kerana kekurangan baki dalam kad tambah nilai TnG.

Menerusi video berkenaan mendapati pemandu tersebut memberikan wang tunai sebelum ditolak kerana pembayaran hanya diterima melalui kad debit atau TnG sahaja.

Akibat terlalu lama pemandu berhenti di lorong plaza tol, jurutol tersebut kemudian menerima wang tunai itu kerana dimarahi lelaki tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast