Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir untuk sambungan perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 22 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-49 perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini yang Datuk Seri Najib Razak tidak mengarahkan pegawai kanan syarikat strategik itu menyembunyikan daripada lembaga pengarah mengenai transaksi pindahan dana AS$700 juta 1MDB kepada Good Star Limited.

Untuk maklumat, Good Star Limited adalah milik  ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Hari ini ketika sesi soal balas di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, saksi, Nur Aida Arifin yang merupakan Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju Najib tidak membuat arahan kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Sebelum ini, ketika prosiding, Shahrol Azral yang juga merupakan saksi pendakwaan pernah mendakwa bekas  Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh tidak berpuas hati dengan pembayaran AS$700 juta ke akaun Good Star Limited yang juga syarikat sekutu PetroSaudi International Ltd (PSI).

Namun pada masa sama, Nur Aida mendakwa Shahrol Azral percaya Najib memberikan arahan kepada Jho Low sebelum arahan tersebut disampaikan kepada pegawai kanan 1MDB.

Ketika peguambela bertanya adakah beliau pernah menyoal siasat Najib tentang arahan pemindahan dana AS$700 juta berkenaan kepada Good Star Limited, Nur Aida memberitahu beliau tidak menanyakan perkara itu.

Ini kerana, katanya, soalan itu padanya tidak penting.

Dalam pada itu, ketika disoal tentang Jho Low pula, Nur Aida tidak pasti tentang hubungan lelaki itu dengan kerabat raja dan selebriti antarabangsa.

Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Collin esok pagi. – MalaysiaGazette