KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran dadah lumpuh dengan tertangkapnya lapan individu dalam enam serbuan yang dilakukan pihak berkuasa di sekitar ibu negara pada 18 hingga 23 April lalu.
Sindiket tersebut yang mengedarkan dadah ke seluruh negara, termasuk sabah dan sarawak, mendapatkan bekalan ganja mencecah 100 kilogram (kg) seminggu menerusi aplikasi Telegram.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan itu dilakukan ke atas beberapan flat, apartmen dan kondominium yang membawa kepada penahanan enam lelaki dan dua wanita yang berusia 24 hingga 42 tahun.
Tambah beliau, pemeriksaan di kediaman terbabit membawa kepada penemuan dadah jenis ganja bernilai RM293,830 dan dua bungkusan ‘Brownies ganja’.
“Kami turut merampas peralatan seperti sepapan pemotong kayu, vacum sealer, pisau pemotong, pisau pemotong pizza, dan penimbang elektronik selain motosikal Yamaha Y15 milik suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini, hari ini.
Menurut Rusdi, kondominium yang dihuni suspek disewa untuk tempoh panjang dan ia digunakan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke seluruh negara.
Tambah beliau, suspek akan menempah bekalan ganja antara 30kg hingga 100kg seminggu dan penghantaran dilakukan syarikat di Thailand menerusi syarikat kurier.
“Suspek juga menggunakan khidmat runner untuk menghantar dadah tersebut melalui penghantaran syarikat kurier terkemuka,” ujarnya sambil menambah kesemua suspek tidak mempunyai pekerjaan rtetap.
Rusdi berkata, lima suspek kini direman selama tujuh hari bermula hingga 29 April ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup atau sebatan.
Bagaimanapun, permohonan reman bagi tiga lagi suspek ditolak dan polis polis meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki individu yang masih bebas dalam kes tersebut. – MalaysiaGazette