KUALA LUMPUR – Suspek yang melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1), Sepang pada 14 April lalu berdepan tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.
Selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad, Hafizul Hawari, 38, mohon dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa memiliki senjata api jenis pistol Glock 19 Austria buatan Turkiye yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.
Pertuduhan lain termasuk, Hafizul didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 AUTO tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta sama yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Dia juga didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan mengikut 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memandu Honda Civic warna Putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama.
Ketika tiba di mahkamah pada pagi ini, Hafizul dikawal ketat oleh anggota polis dari Unit D9 Bahagian Siasatan Jenayah Berat.
Tertuduh juga masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan kes tembak di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang disambung lima hari lagi.
Perintah sambung reman itu dikeluarkan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri bermula semalam sehingga Sabtu.
Proses tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Sebelum ini, Hafizul ditahan polis di hadapan sebuah hospital swasta di sini.
Semasa ditahan, polis menjumpai dan merampas sepucuk pistol yang digunakan suspek semasa melepaskan tembakan di KLIA. -MalaysiaGazette