PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi tidak menghalang mana-mana pihak untuk mengkritik kerajaan secara terbuka selagi mana ia berlandaskan fakta dan tidak berbaur fitnah.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak akan berdiam diri apabila wujud sesetengah pihak yang gemar menabur fitnah, khususnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tidak menjadi masalah untuk mengkritik kerajaan tapi untuk mengada-adakan cerita seolah-olah Perdana Menteri mempunyai penyakit, itu fitnah jahat yang dibuat oleh beberapa individu pada Ramadan, bukankah mereka ini beragama Islam.
“Walaupun kita terima pandangan Amnesty International tapi dalam masa sama ada perbezaan cukup jelas di antara hak kebebasan bersuara, itu tidak bererti kebebasan memfitnah.
“Fitnah itu merosakkan masyarakat dan negara kita,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum itu, media melaporkan Amnesty International mendakwa kerajaan gagal memberi komitmen untuk menambah baik undang-undang untuk mengekang kebebasan bersuara, mengancam ruang awam dan terus menyanggah hak asasi manusia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, setakat ini belum ada wartawan yang ditahan seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini dan tiada satu pun syarikat akhbar yang telah ditutup oleh kerajaan.
“Setakat ini tiada mana-mana wartawan yang ditahan kerana menulis laporan terus, kita membezakan antara kebebasan bersuara dan kebebasan memfitnah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette