KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes telah menandatangani kontrak perkhidmatan baharu untuk lima tahun lagi.
Lanjutan perkhidmatan itu membolehkan beliau meneruskan peranan pentingnya di Capital A, dengan fokus terhadap memacu pertumbuhan masa depan dan pulangan kewangan kumpulan.
Lembaga Pengarah Capital A meluluskan sebuah pakej insentif untuk Tony, yang direka untuk menyelaraskan kepentingan CEO dengan kepentingan para pemegang saham, serta memastikan komitmen bersama untuk memacu kejayaan jangka panjang dan kemapanan Capital A.
Peranan beliau merangkumi mengemudi Capital A ke arah membuka kunci nilai pemegang saham yang dipertingkatkan melalui pelaksanaan urus niaga yang menguntungkan merentas entiti Capital A.
Pakej insentif dan butirannya akan dibentangkan kepada pemegang saham untuk kelulusan mereka pada mesyuarat agung luar biasa yang akan datang.
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Capital A Berhad, Dato Fam Lee Ee berkata, Tony telah menunjukkan kebolehan yang tiada tandingannya untuk berjaya mengubah Capital A dalam memacu pertumbuhan dan memberikan pulangan kewangan, menjadikan beliau memiliki reputasi sebagai salah seorang CEO yang cemerlang di dalam industri ini.
Beliau telah menetapkan Capital A pada laluan strategik yang betul bagi penciptaan nilai yang berterusan, dan lembaga pengarah memutuskan adalah demi kepentingan terbaik para pemegang saham untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya sepanjang lima tahun akan datang.
Sementara itu, Tony berkata, beliau teruja untuk memulakan perjalanan melengkapkan transformasi penuh Capital A yang sudah bersedia untuk memberikan nilai yang luar biasa kepada para pemegang sahamnya berikutan pelupusan perniagaan penerbangannya.
Dalam tempoh dua tahun akan datang, pelabur dan pemegang saham akan menyaksikan kebangkitan empat tonggak perniagaan yang kukuh yang lahir daripada Kumpulan AirAsia.
“Kesemua perniagaan ini menggembirakan saya, masing-masing bersedia untuk menjadi entiti bebas dengan struktur modalnya yang teguh. Sepanjang lima tahun akan datang, saya membayangkan Teleport, MOVE Digital, Capital A Aviation Services Group (CAPAS), dan Capital A International berkembang menjadi syarikat awam tersenarai berasingan, yang berkongsi DNA asas AirAsia— bercirikan kos rendah, kecekapan tinggi, dan komitmen tanpa henti untuk berdikari dan pengganggu pasaran yang berdaya tahan,” katanya. – MalaysiaGazette