Jenazah Allahyarham Pegawai Waran II Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd Shahrizan Mohd Termizi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir, Sitiawan. Foto, ABDULLAH YUSOF, 24 APRIL 2024.

LUMUT – Jenazah Pegawai Waran II, Mohd Shahrizan Mohd Termizi yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak, pagi semalam selamat dikebumikan kira-kira jam 10 malam tadi.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir, Sitiawan, di sini.

Suasana pilu menyelubungi sebaik sahaja van yang membawa jenazah Allahyarham tiba di kediaman keluarganya di Taman Bunga Tanjung, Batu 10, Lekir Sitiawan pada jam 7.40 malam.

Jenazah Pegawai Waran II Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd Sharizan Mohd Termizi selamat tiba di kediaman keluarganya di Taman Bunga Tanjung, Batu 10, Lekir Sitiawan. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 APRIL 2024.

Jenazah kemudiannya dibawa anggota TLDM memasuki kediaman keluarganya bagi membolehkan ahli keluarga serta saudara dan kenalan rapat memberi penghormatan terakhir.

Allahyarham Mohd Shahrizan kemudiannya dibawa ke Masjid Al-Khairiah, Batu 10 Lekir, untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan selepas selesai solat Isyak.

Lebih 500 yang hadir termasuk ahli keluarga Mohd Sharizan, kenalan serta orang ramai memenuhi tanah perkuburan bagi melihat pengebumian jenazah yang disempurnakan bersama Istiadat Rasmi Pengurusan Jenazah TLDM.

Anggota tentera turut mengiringi jenazah yang kemudiannya diusung oleh pegawai penghormatan tentera ke tanah perkuburan.

Keranda membawa jenazah yang ditutupi dengan Jalur Gemilang kemudian diberikan tabik hormat oleh pegawai dan anggota tentera sebagai penghormatan terakhir.

Terdahulu, proses bedah siasat yang mula dijalankan sejak semalam selesai sepenuhnya sekitar jam 2.20 petang.

Semalam, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec (M502-6) dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini. – MalaysiaGazette