PUTRAJAYA – Kerajaan sedang menyiapkan kerangka Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang dengan tumpuan bersama dalam membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, apabila kerangka itu siap kelak, ia akan diserahkan kepada pembangkang untuk penilaian mereka.
Menurut beliau, perkembangan terkini akan dimaklumkan kemudian sekiranya pembangkang tidak bersetuju dengan MoU itu.
“Dengan pembangkang pun apabila mereka berjumpa, saya sudah membawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Kerajaan Perpaduan, kita sudah berbincang secara prinsip sudah dipersetujui.
“Sekarang ini tengah merangka MoU, apabila sudah siap nanti, kita akan beri kepada pembangkang dan untuk mereka menilai sama ada kita perlu lagi perbincangan selepas itu.
“Kalau mereka bersetuju, tak bersetuju, apa yang tak dipersetujui sebagainya, kita akan beri perkembangan nanti,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Kompleks Sri Satria di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah enggan mengulas kerangka MoU itu lebih terperinci agar ia tidak mencetus andaian mana-mana pihak.
Namun beliau memberitahu, tiada tempoh masa ditetapkan untuk MoU tersebut disiap dan dilaksanakan.
“Tak bolehlah, nanti benda-benda yang orang kata jadi andaian, benda yang belum dipersetujui, bila kita sudah kerangka sudah ada, dimuktamad, kita boleh kongsi,” katanya.
Ditanya kenyataan Pengerusi Pakataan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak perlu MoU untuk pembangkang sekiranya kerajaan ikhlas, Fadillah enggan memberi komen lanjut.
“Saya tak nak komen itu, apa pun yang dia kata, tetapi sekarang ini apa yang kita nak laksanakan, kaedah itu. Dahulu pun ada perjanjian, apabila ada perjanjian baru ada peruntukan
“Sekarang ini MoU hendak dilaksanakan, kalau ikutkan tak perlu pun, kerajaan sudah ada dua pertiga tetapi mengapa perlukan lagi perjanjian.
“Itu yang kita nak laksanakan, supaya akhirnya dengan ada perjanjian itu, kita akan ada persefahaman, persefahaman untuk menggerakkan pembangunan negara, mnfokuskan kepada ekonomi dan kebajikan rakyat, itu sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette