KUANTAN – Mana-mana penceroboh tidak mempunyai hak daripada sudut undang-undang mahu pun ekuiti di negara ini, kata Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Saiful Edris Zainuddin.
Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Radzi Harun semalam berkenaan tuntutan pekebun durian Musang King di Raub terhadap semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah mengukuhkan lagi prinsipal tersebut.
Ia merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Persekutuan, Almarhum Raja Azlan Shah semasa memutuskan kes Sidek Muhammad lawan Kerajaan Perak [1982] pada satu ketika dahulu.
”Tresspasser (penceroboh) tidak hak dari sudut undang-undang dan ekuiti. Ia sekaligus mengesahkan keputusan sepatutnya selepas ini pihak pekebun tersebut menerima tawaran pihak Royal Durian untuk berunding.
”Antara alasan penghakiman bahawa mereka status mereka sebagai tresspasser dan tindakan kerjasama negeri mengusir mereka tiada unsur mala fide.
”Ketiga pelan pemutihan tiada ada urusan berat sebelah sebab itu adalah arrangement yang boleh dirunding dengan pihak terlibat,” katanya ketika ditemui semalam.
Mahkamah Tinggi Kuantan semalam menolak permohonan seramai 186 pekebun durian Musang King di Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang.
Hakim Datuk Mohd Radzi Harun membuat keputusan itu selepas membaca alasan penghakiman selama sejam setengah.
Selain menolak semakan kehakiman, mahkamah turut mengarahkan pemohon membayar RM600,000 kepada semua responden dalam kes berkenaan.
Saiful Edris memberitahu, pemohon (plaintif) sudah tinggal dan mengusahakan tanah lebih 60 tahun malahah ada yang lebih 100 tahun.
Bagaimanapun jangka masa tersebut tidak mengubah bahawa mereka adalah penceroboh dan tidak mempunyai apa-apa hak, tegasnya.
”Mereka telah melakukan kesalahan tetapu kekal berada di tanah milik kerajaan tanpa kebenaran, ini berdasarkan penghakiman kes Sidek Haji Muhammad.
”Penceroboh tiada hak sama ada dari sudut undang-undang dan ekuiti, kedua Seksyen 341 Kanun Tanah Negara 1965 berkaitan pemilikan bertentangan tanah untuk apa-apa tempoh masa dan ketiga kesalahan di bawah Seksyen 425 kesalahan menduduki mana-mana tanah Kerajaaan,” katanya.
Tambahnya, dalam prinsipal ekuiti, jika pemilik tanah boleh mengambil semula tanahnya dengan cara mengarahkan penceroboh keluar tanpa mahkamah serta tidak mengenakan kesalahan sivil atau jenayah. – MalaysiaGazette