Keadaan di tanah perkuburan Allahyarham Leftenan Komander, Allahyarham Mohammad Amirul Faris Mohamad Marzukhi ketika tinjauaan malaysia gazette di Senawang, Negeri Sembilan. Foto AIZAT ZAINAL, 24 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Balu kepada Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirul Faris Mohamad Marzukhi melahirkan rasa syukur setelah suaminya selamat dikebumikan, lewat malam tadi.

Siti Aisyah Mohd Roslan dalam status terbaharunya di laman Facebook berkata, beliau terkilan tidak dapat menyambut ulangtahun hari kelahirannya yang jatuh pada hari ini.

“Abang, hari ni hari jadi sayang. Setiap kali bulan april, sayang mesti suka sebab abang lahir 3 April 1989. Anniversary ibu dan ayah abang 3 April 1988

“Ibu abang lahir 5 April 1965, Anniversary kita 15 April 2016, Affan (anak kedua) lahir 21 April 2022. Sayang lahir 25 April 1992, lepas ni bertambah 1 tarikh duka untuk sayang dan anak-anak, 23 April 2024 hari pemergian abang untuk selama lamanya,” katanya di Facebook.

Keadaan di tanah perkuburan Allahyarham Leftenan Komander, Allahyarham Mohammad Amirul Faris Mohamad Marzukhi ketika tinjauaan malaysia gazette di Senawang, Negeri Sembilan. Foto AIZAT ZAINAL, 24 APRIL 2024.

Lewat malam tadi, jenazah Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 itu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Forest Height, Senawang, Negeri Sembilan.

Menceritakan mengenai perihal suaminya itu, Siti Aisyah berkata Allahyarham Mohammad Amirul Faris tidak pernah lekang daripada mengucapkan ucapan terima kasih kepada beliau.

Maka dengan itu, Siti Aisyah berkata ungkapan itu pastinya akan menjadi saat paling dirindukan oleh beliau sekeluarga setelah pemergian Allahyarham Mohammad Amirul Faris.

“Mulut abang tak pernah lekang dengan ucapan “terima kasih”. “Terima kasih” abang itu slalu buat sayang rasa dihargai. Sekarang sayang pula nak ucapkan “terima kasih” kat abang.

“Pergilah abang, sayang dah redha. Sayang kuat abang, abang jangan risau sebab abang pernah cakap, abang tahu sayang mampu jaga anak-anak abang.

“Anak-anak itu lah harta yang abang tinggalkan untuk sayang. Sayang dan anak-anak sentiasa mengingati dan merindui abang. Al-Fatihah suamiku,” tulis Siti Aisyah.

Keadaan di tanah perkuburan Allahyarham Leftenan Komander, Allahyarham Mohammad Amirul Faris Mohamad Marzukhi ketika tinjauaan malaysia gazette di Senawang, Negeri Sembilan. Foto AIZAT ZAINAL, 24 APRIL 2024.

Allahyarham Mohammad Amirulfaris merupakan salah seorang daripada 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi dua helikopter pasukan keselamatan itu bertembung dan terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak semalam.

Sembilan lagi yang terkorban ialah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T. Sivasutan (juruterbang Skuadron 502) serta Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502).

Mangsa lain Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin dan Kuartermaster Udara Skuadron 503 Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.

Tiga anggota wanita yang maut pula ialah Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dari Markas Udara TLDM, Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat) dan Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat). – MalaysiaGazette