Foto: UKAS

SERIAN – Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Kristian Kampung Engkaroh, di sini, pagi ini sepanjang proses pengebumian mendiang Laskar Kanan (LK) JJM Joanna Felicia Rohna yang terkorban dalam tragedi helikopter pada Selasa lalu.

Mendiang selamat dikebumikan pada 11.20 pagi selepas dibawa dari kediaman keluarganya terletak kira-kira 1 kilometer dari tanah perkuburan itu.

Upacara pengebumian mengikut istiadat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu dihadiri ratusan orang yang memberi penghormatan terakhir.

Turut hadir ialah Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis dan Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jasad mendiang Joanna, 26, tiba di Pangkalan Udara TUDM di sini pada 11.54 malam tadi.

Joanna antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada 9.32 pagi Selasa semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang TLDM ke-90. – Bernama