JASIN – Simbah sambal tumis untuk memedihkan mata sebelum melakukan samun terhadap mangsanya.
Itu modus operandi dilakukan seorang lelaki terhadap lelaki warga emas berusia 61 tahun di Kampung Ayer Tawar, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi mangsa turut ditampar dan dipukul menyebabkannya cedera di kepala.
“Selepas menyimbah mangsa dengan sambal tumis, suspek agresif dan menampar mangsa serta menghentak kepalanya menggunakan kerusi plastik lebih dua kali menyebabkannya cedera.
“Suspek kemudian melarikan beg sandang mangsa yang mengandungi dompet serta wang tunai RM400, kad bank dan lesen memandu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa ketika itu turut menjerit meminta pertolongan namun tidak disedari penduduk sehingga suspek berjaya melarikan diri.
“Mangsa yang pernah terlibat kemalangan sebelum ini dan mengalami kesukaran untuk berjalan dimasukkan ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut.
“Polis sedang giat mengesan suspek yang digambarkan bertubuh gempal dan memakai topi keledar serta pelitup muka ketika kejadian,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan – MalaysiaGazette
















