SERIAN – Jasad mendiang Laskar Kelas I, JJM Joanna Felicia Rohna, 26, yang terlibat dalam nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada Selasa lepas akan dikebumikan di Kampung Engkeroh, Tebakang, dekat sini, pada 9.00 pagi hari ini.
Upacara pengebumian ibu kepada dua anak itu akan dijalankan mengikut istiadat rasmi TLDM di Tanah Perkuburan Kristian di Kampung Engkeroh, Tebakang, di sini.
Terdahulu, pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jasad mendiang Joanna dari Ipoh, Perak tiba di Pangkalan Udara TUDM, Kuching pada 11.54 malam sebelum dibawa ke Kampung Engkaroh Tebakang dan tiba kira-kira pukul 2.08 pagi.
Suasana pilu dan hiba menyelubungi kediaman keluarga mendiang di kampung itu dan seorang daripada saudara terdekat Richard Jiubat Bluka, 26, berkata ahli keluarga sudah berkumpul seawal 5 petang semalam untuk menunggu bagi memberikan penghormatan terakhir.
“Tidak sangka, pertemuan kali ini merupakan yang terakhir. Sebelum ini, dia sudah berjanji mahu berjumpa dengan kami jika balik pada sambutan hari Gawai kelak…namun siapa sangka pertemuan jadi begini,” katanya kepada pemberita.
Joanna antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada 9.32 pagi semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang TLDM ke-90. – Bernama