Pengarah NDRC, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus, semasa lawatan kerja rasmi ke University of Tokyo (UTokyo) dan University of Technology Nagaoka (NUT) baru-baru ini.

KOTA KINABALU – Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS)  komited memperkukuhkan jaringan kerjasama peringkat antarabangsa meningkatkan sistem pengurusan bencana negara khususnya di Sabah.

Menurut Pengarah NDRC, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus, lawatan kerja rasmi ke University of Tokyo (UTokyo) dan University of Technology Nagaoka (NUT) merupakan satu bentuk inisiatif untuk mengukuhkan kerjasama kedua-dua belah pihak.

“Air sisa domestik yang dirawat melalui sistem down-flow hanging sponge (DHS) on-site reactor boleh digunakan semula sehingga 10 hari di kawasan yang dilanda bencana.

“Sistem rawatan DHS ini telah digunakan secara meluas oleh kerajaan Jepun dan terbaharu dipasang di kawasan wilayah Niigata dan Kanazawa yang dilanda gempa bumi NOTO serta tsunami pada 1 Januari lalu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, NRDC UMS turut mengadakan perbincangan meja bulat pada Roundtable of Climate Change yang berlangsung di Universiti of Surrey, London.

“UMS akan berusaha mengintegrasikan kesihatan awam ke dalam dasar dan perancangan perubahan iklim negara terutamanya dalam menitikberatkan aplikasi serta amalan terutama impaknya terhadap kesihatan mental.

“Ini penting untuk membantu meramal risiko kesihatan dari segi keupayaan beradaptasi komuniti terhadap perubahan iklim seterusnya menentukan strategi yang lebih berkesan untuk mengurangkan risiko selain mengenalpasti intervensi dan mitigasi yang bersesuai,” katanya.

Beliau percaya pentingnya untuk menguar-uarkan mengenai bahaya perubahan iklim dan kesannya kepada kesihatan komuniti. – MalaysiaGazette