KUALA LUMPUR – Meskipun calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut memaklumkan akan memberi penjelasan mengenai taraf akademiknya, masih ada lagi pihak yang mahu memperbesar-besarkannya.
Terbaharu, Pengarah Strategi Keadilan Selangor, Saifuddin Shafi mendakwa, andainya Khairul Azhari menipu kelayakan akademiknya, ia adalah tindakan yang sangat memalukan.
Apatah lagi, kata Saifuddin yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, calon itu juga enggan mengulas atau memperbetulkan dakwaan itu apabila disoal media hari ini ketika ditemui selepas penamaan calon.
“Tindakannya menyebabkan ‘kecurigaan’ ramai semakin menjadi-jadi kerana ia seolah-olah membenarkan dakwaan terbabit. Ini satu ‘disaster’ kepada permulaan kempen untuk memancing undi pengundi PRK KKB.
“Patutnya mana-mana calon dan parti perlu jujur, berterus terang tentang apa jua kelayakan, keupayaan diri apatah lagi calon juga adalah kalangan penduduk setempat.
“Ingat ya, anda adalah calon yang mewakili rakyat dan berbahas mengenai dasar kerajaan negeri pada masa akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah beliau, adalah lebih baik jika Khairul Azhari tampil sendiri membuktikan kelayakan beliau melalui sijil yang ada atau berterus terang dan memohon maaf atas kekhilafan tersebut.
Jelasnya, Pengarah Pilihan Raya PN juga perlu mengambil tanggungjawab terhadap isu ini dan minta maaf kepada pengundi KKB.
“Tolonglah jangan hina pengundi KKB dan rakyat Selangor dengan menghantar penipu sebagai wakil rakyat ke Dewan Sidang Selangor yang mulia,” katanya.
Dalam poster kempen yang diedar, Khairul Azahari dilihat menyenaraikan Diploma Eksekutif Pengurusan yang diperoleh dari Universiti Malaya pada 2019.
Beliau juga dicatatkan sebagai pemegang Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang yang diperoleh pada 2021. -MalaysiaGazette