Anwar Ibrahim

RIYADH – Malaysia mengamalkan pendekatan dasar luar yang seimbang antara Barat dan Timur, selain mengelakkan sebarang keadaan yang dilihat sebagai provokatif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Putrajaya menjalinkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, dan pada masa yang sama mengekalkan hubungan dua hala yang mantap dengan China, Korea Selatan dan Jepun.

“Kami terlibat dan bergantung kepada sokongan, kerjasama dan pelaburan dari Barat seperti AS dan Eropah, dan pada masa yang sama mengekalkan hubungan dua hala yang mantap dengan China, Korea (Selatan) dan Jepun.

“Ini terutama dengan China memandangkan terdapat pelaburan dan minat yang semakin meningkat,” katanya pada sesi pleno pembukaan Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF): Visi Baharu Pembangunan Global hari ini.

Secara kumulatif, AS berada pada kedudukan pertama dari segi jumlah pelaburan di Malaysia manakala China pula menunjukkan peningkatan sebagai antara pelabur utama.

Anwar berkata, pendirian Malaysia adalah jelas untuk tidak akan membuat sebarang keputusan yang dilihat sebagai provokatif antara satu dengan lain.

“Kami mengalu-alukan pelaburan berdasarkan ketetapan kami,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi sesebuah ekonomi sedang pesat membangun yang kecil, tindakan pengimbangan bukanlah sesuatu yang mudah.

“Saya berpandangan setakat ini kami telah berjaya,” katanya.

“Kami perlu mengemudi dengan bijak dan kami bernasib baik memandangkan terdapat konsensus Asean mengenai perkara ini walaupun tidak sepenuhnya kerana kekuatan yang berbeza, tetapi sekurang-kurangnya dalam mekanisme Asean, terdapat keadaan seperti ini untuk kami mengekalkan (pendirian) berkecuali kami,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast