Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berucap pada Sembang Santai Vanakam Madani di Auditorium Dato Abdul Hamid, Batang Kali. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Masyarakat India di Kuala Kubu Baharu keliru dengan maklumat di media sosial terutamanya hebahan mengenai faedah dan manfaat tertentu yang disediakan oleh kerajaan kepada mereka.

Itu semua berlaku susulan persepsi yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu hingga menyebabkan masyarakat kaum berkenaan tidak mendapat maklumat tepat.

“Memang keliru la perasaan mereka. Sebab tadi yang saya pun dapat tahu semua melahirkan kemarahan.

“Tipu, news which is sensationalize (berita yang sensasi) dia (pembangkang) sensasikan, dia buat fitnah, tohmahan yang tidak betul, dia keluarkan, so itu yang mereka dapat,” katanya kepada media selepas mengadakan Program Sembang Santai Vanakam Madani, di sini, hari ini.

Kira-kira 300 masyarakat daripada kaum India di Kuala Kubu Baharu menghadiri program berkenaan dengan pengisian maklumat serta maklum balas berhubung isu-isu tertentu.

Antara yang dibangkitkan iaitu mereka tidak dapat inisiatif-inisiatif yang disediakan oleh kerajaan susulan tidak mendapat maklumat tepat mengenainya.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, beliau terkejut mendengar rungutan tersebut dan akan berusaha mencari jalan untuk menyelesaikannya

“Kalau kita tengok antara yang penting isu Persekutuan yang dia orang tanya mereka tidak tahu sebenarnya apa inisiatif-inisiatif yang ada.

“Bila datang tadi, mereka marah sebab apa dia orang cakap Perdana Menteri tidak buat apa-apa untuk mereka. Dia orang marah, tetapi selepas kami beri penjelasan…semua ok,” ujarnya.

Dengan memberikan contoh manfaat yang disediakan oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang mana peruntukan sebanyak RM100 juta disediakan bagi membantu kaum India.

“Mereka pun hairan sebab mereka tidak tahu. Kami beritahu mereka bahawa ada rawatan dialisis disediakan (rawatan sakit buah pinggang), kita telah menolong beribu pesakit dialisis itu…mereka tidak tahu.

“Kami juga telah maklumkan kepada mereka baru-baru ini, pengumuman yang kita telah buat berkaitan dengan Tekun sebagai tambahan daripada RM30 juta sampai ke 60 juta. Mereka tidak tahu.

“Jadi, isunya mereka bukannya marah, sebab yang diberikan itu mereka tidak puas hati. Memang semua masyarakat pun kalau apa apa yang diberi mereka nak lebih, tetapi kemarahan ini sebab mereka tidak tahu apa yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan.

“Ini adalah isu bahawa informasi itu tidak sampai,” katanya. – MalaysiaGazette