KUALA KUBU BAHARU – Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut menjelaskan beliau tidak menipu mengenai kelayakan akademik yang dimilikinya.
Katanya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan boleh menyemak dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk butiran lanjut.
“Saya tak buat salah, saya hantar sijil itu bukan dari Sri Lanka atau Vietnam, sijil yang saya serah itu daripada Malaysia sendiri, mereka boleh menghubungi universiti itu untuk membuat pengesahan.
“Saya tak menipu itulah pendirian saya, sekarang ini mereka cuba uji saya dalam PRK, ini ujian dan halangan ini macam-macam.
“Kalau saya melatah dia akan cakap baru jadi calon dah koyak,” jelas Khairul Azhari dalam satu ceramah di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, lewat malam tadi.
Awal hari ini, Khairul Azhari mengelak untuk menjawab pertanyaan media mengenai status akademik beliau yang dipersoalkan netizen.
Dalam poster pilihan raya yang diedarkan kepada umum menyaksikan Khairul Azhari memiliki Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya pada 2019 dan Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari UMP pada 2021.
Sebelum ini, netizen memuatnaik video di aplikasi Tiktok yang mempersoalkan kelayakan akademik yang dipaparkan pada poster kempen pilihan raya Khairul Azhari.
Netizen berkata, perkara itu janggal seolah-olah Khairul Azhari tidak melalui proses biasa pengajian.
Persoalan yang dilontarkan adalah mengenai kesahihan akademik tersebut yang mana Diploma Eksekutif hanya merupakan sijil yang tidak memerlukan tempoh pembelajaran sehingga dua tahun dan lebih.
Mengulas lanjut, Khairul Azhari berkata, beliau jelas jujur dengan pengundi Kuala Kubu Baharu dengan tampil menjelaskan mengenai isu tersebut dan tidak mendiamkan diri.
“Yang penting saya jujur saya ikhlas saya tak menipu perjuangan kita untuk mempastikan PN menang,” katanya. – MalaysiaGazette