Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang pemimpin kanan di utara tanah air kerana disyaki telah melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengannya membabitkan beberapa projek pembekalan melibatkan peruntukan bernilai kira-kira RM300,000.

Sumber memberitahu, pemimpin tersebut juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta yang mana syarikat-syarikat tersebut mempunyai kepentingan dengan anaknya.

Beliau berkata, projek-projek tersebut juga dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin tersebut dengan menggunakan beberapa lesen syarikat-syarikat di bawah kawalannya.

“Kesalahan tersebut dipercayai dilakukan dari Januari 2023 hingga Mac 2024 dan syarikat-syarikat tersebut turut disyaki telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu bagi kerja-kerja tersebut selain diberikan komisen kira-kira lima peratus daripada nilai projek.

“Setakat ini sebanyak 15 buah syarikat telah dikenal pasti dikawal oleh anak pemimpin tersebut dan antara kerja-kerja yang dilakukan adalah melibatkan pembekalan air mineral serta pembekalan hamper dan cenderahati,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung perkara tersebut. – MalaysiaGazette