Manivanan Gowin

BANGI – Semua pihak perlu berganding bahu bagi membantu menangani risiko yang dihadapi pekerja akibat perubahan iklim yang semakin ketara di seluruh dunia.

Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Manivanan Gowin berkata, pihaknya turut aktif dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai organisasi luar dan dalam negara, agensi Kerajaan serta Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta bagi meningkatkan kajian dan perkhidmatan berkaitan KKP.

Tambah beliau, sehingga kini NIOSH telah menandatangani 139 dokumen kerjasama (Memorandum Persefahaman – MOU) untuk tujuan tersebut.

“Melalui kerjasama sebegini, NIOSH mampu meningkatkan keberkesanan program kesedaran dan latihan, menyediakan perkhidmatan rundingan serta menjalankan kajian berkaitan perubahan iklim dan mewujudkan mekanisme menangani kesannya di tempat kerja,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Manivanan, berdasarkan kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), perubahan iklim yang semakin ketara akan menyebabkan kira-kira 70 peratus pekerja di seluruh dunia terdedah kepada pelbagai bahaya seperti strok haba, sinaran ultraviolet (UV) berlebihan, pencemaran udara serta penyakit
bawaan vektor dan agrokimia.

Katanya, ILO menjangkakan sehingga 860,000 kematian berkaitan pekerjaan akan berlaku dalam kalangan mereka yang bekerja di luar pejabat setiap tahun akibat masalah kesihatan yang dijangka meningkat disebabkan perubahan iklim termasuk penyakit kanser dan kardiovaskular, masalah pernafasan, kegagalan buah pinggang dan masalah berkaitan kesihatan mental.

Tambah beliau, laporan ILO turut menunjukkan bahawa perubahan iklim telah pun memberi kesan serius kepada 2.4 bilion pekerja yang terdedah kepada cuaca panas dan mereka ini
mewakili lebih 70 peratus daripada keseluruhan 3.4 bilion pekerja di seluruh dunia. – MalaysiaGazette