Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah sebagai balasan membawa masuk barang terlarang kepada tahanan lokap, tiga tahun lepas. Muhamad Alif Abdul Jamal, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah sebagai balasan membawa masuk barang terlarang kepada tahanan lokap, tiga tahun lepas.

Muhamad Alif Abdul Jamal, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Menurut pertuduhan, Muhamad Alif yang ketika itu bertugas di Lokap Balai Polis Chukai didakwa menerima suapan RM1,000 pada 17 April 2021 dan RM450 pada 30 Nov tahun sama daripada Jainah Mohamed Abdullah untuk membawa masuk tembakau ke dalam lokap balai polis terbabit kepada Mohd Firdaus Mohd Zahid.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mariah Omar dan Pegawai Pendakwa Nur Raihan Mohd Yusof, manakala tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail.

Mariah mencadangkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengemukakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mendekati saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri pada SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Masliela merayu agar anak guamnya ditawarkan jaminan yang rendah memandangkan anak bongsu kepada tiga beradik itu menanggung ibu bapanya yang mempunyai masalah kesihatan.

Hakim Mohd Azhar seterusnya mengarahkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pasukan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 5 Jun ini sebagai tarikh pengurusan kes. – BERNAMA