KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin mengesahkan beliau akan berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, esok, pagi.
Beliau akan berdepan mengikut Akta Hasutan 1948, difahamkan berkaitan hantaran mengenai projek kasino di Forest City menerusi laman media sosial baru-baru ini.
Pagi ini beliau yang dikenali dengan panggilan Chegu Bard dihadapkan dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen, di sini, kerana memfitnah dan menghasut untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Bercakap kepada media di lobi Mahkamah Jalan Duta, Badrul Hisham berkata, beliau berdepan pertuduhan kerana komentar di laman Facebook mengenai pembukaan kasino seperti dilaporkan Bloomberg.
“Hantaran saya menyatakan Bloomberg dan Business Times (Singapore) punya pautan, tetapi sampai hari ini Bloomberg tidak diusik.
“Angkatan Muda Keadilan tidak buat laporan polis kepada Bloomberg. Akhirnya saya sebagai rakyat Malaysia, saya memperingatkan.
“Ini bukan soal Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini maruah rakyat Malaysia dan implikasi terhadap Yang di-Pertuan Agong. Negara dan Peguam Negara perlu bertindak,” katanya.
Badrul Hisham hari ini mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan memfitnah dan menghasut yang dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, Badrul Hisham didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah yang mana beliau mempunyai sebab untuk percaya bahawa ia akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, jam 6 petang pada 22 Januari lalu.
Beliau juga berdepan tuduhan membuat penerbitan menghasut di Taman Bukit Cheras, di sini, jam 12.15 tengah hari, 6 April lalu.
Anwar, Berjaya dan Genting Malaysia sudah menafikan laporan Bloomberg.
Mereka juga mahu tindakan diambil terhadap syarikat media itu berhubung laporan terbabit.
Bloomberg mendakwa Anwar menemui pengasas Berjaya Corporation Bhd, Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City minggu lalu. -MalaysiaGazette