Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Md Nor bercakap kepada media selepas hadir ke majlis Ramah Mesra bersama Orang Asli Kampung Tun Razak sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu ketika di Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 29 APRIL 2024

HULU SELANGOR – Masyarakat orang asli diharap tidak keliru untuk membuat pilihan di kertas undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung, 11 Mei ini.

Ini kerana, masyarakat daripada golongan itu perlu faham hubungan antara Barisan Nasional (BN) yang pernah didukung mereka sebelum ini dengan Pakatan Harapan (PH) di dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini, kata Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor.

Beliau yang mewakili masyarakat orang asli dan tampil membuat penjelasan mengenai perkara itu berkata, komuniti itu perlu tahu bahawa sekarang ini BN dan PH adalah sekutu dan bukan lagi seteru politik.

“Nampak tak saya ini dacing (logo BN), nampak tak (Pakatan) Harapan. Biar saya jelaskan kenapa, dari segi data, orang tak payah tipu bab orang asli kerana berbalik dalam sejarah politik negara dari 1957 hingga ke Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), undi orang asli undi dacing (BN) tak lari 90 peratus.

“Melainkan pada PRU14, berlaku penurunan sokongan undi orang asli hampir 76 peratus. Bagaimanapun, pada PRU15, (sokongan orang asli) melonjak naik ke lebih 80 peratus.

“Kita lihat di situ sebabnya, orang asli di Kuala Kubu Baharu kena undi, pangkah PH. Tuan puan tahu kenapa? Sebab sekarang BN dengan PH adalah kawan. Kita tak mahu tikam kawan.

“PH bantu kita BN menang di (DUN) Pelangai. Seperti mana Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pernah bercakap, setiakawan itu adalah kena sokong-menyokong dan kena pastikan kestabilan politik.

“Jadi saya berharap suku kaum Temuan di DUN Kuala Kubu Baharu ini jangan sesekali lupa dan pastikan kesetiaan itu ada dengan memangkah calon PH nombor dua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 300 masyarakat Orang Asli pada sesi walkabout bersama calon PH yang mewakili DAP, Pang Sock Tao di perkampungan orang asli di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ramli yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengingatkan pengundi-pengundi orang asli agar tidak meremehkan peraturan dan perkara-perkara yang perlu di bawa ketika hendak keluar mengundi.

“Jadi, saya hendak orang kita (orang asli) pada hari mengundi ini terus pastikan, nombor satu kad pengenalan jangan lupa, tolong saya (dahulu) hilang 15 undi di kampung saya kad pengenalan tertinggal, nak balik kampung saja tiga jam.

“Nombor dua keluar awal…bantu mereka, angkut mereka kalau perlu, pastikan 1,279 undi orang asli akan menyokong kepada calon kita daripada Pakatan Harapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast