KUALA LUMPUR – Bekas pemain ragbi pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) Kedah meninggal dunia selepas menyertai perlawanan pertunjukan bersama pasukan pilihan Menteri Besar petang semalam.
Menerusi kenyataan di laman Facebook Ragbi Online, Ahmad Zainol Osman rebah ketika perlawanan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat serangan jantung.
Perlawanan itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Salam al-Fatihah buat Ahmad Zainol Osman yang telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.
“Arwah mengalami serangan jantung ketika menyertai perlawanan pertunjukan antara pasukan pilihan Menteri Besar dan pilihan AOR sempena kejohanan ragbi Pra-SUKMA AOR di Stadium Suka Menanti, Kedah.
“Pasukan perubatan pertandingan berjaya untuk menstabilkan arwah ketika di padang dan beliau berada dalam kembali sedar sebelum di bawa ke HSB,” tulis kenyataan itu.