Teo Nie Ching

KUALA KUBU BAHARU – Pas dilihat masih tidak boleh menerima sekolah vernakular yang menjadi pilihan ibu bapa di Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching yang mempersoalkan perkara itu  hairan mengapa Pas masih lagi menjadikan perkara tersebut sebagai isu.

“Pas juga ada ADUN yang belajar (anak) di SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina). Jadi, saya tak tahu kenapa ini boleh jadi satu isu.

“Ini hanya menunjuk bahawa sampai hari ini Pas tak boleh terima sekolah vernakular. Pas tak boleh menerima pilihan hak ibu bapa..jadi saya rasa adakah pengundi Kuala Kubu Baharu nak menyokong seorang calon yang datang dari Perikatan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili parti DAP, Pang Sock Tao melakukan walkabout di Pasar Pagi, Kuala Kubu Baharu hari ini.

Semalam, sebuah laman portal melaporkan, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berharap isu calon PH DUN Kuala Kubu Baharu yang mendapat pendidikan di sekolah vernakular akan ‘berterusan’ hingga PRK 11 Mei ini.

Tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai ‘harapannya’ itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut memohon maaf kerana menyusahkan Sock Tao yang terpaksa mendedahkan keputusan dan sekolahnya di peringkat rendah serta menengah.

Terdahulu, Pang mendedahkan keputusan UPSR dan SPM yang menunjukkannya mendapat semua A dalam mata pelajaran diambil.

Menerusi slip keputusan dikongsinya, ahli DAP itu menduduki UPSR di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Pong, Hulu Langat, manakala, di peringkat SPM di Sekolah Menengah Chung Hua, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Nie Ching berharap agar pemimpin parti lawan dapat mengamalkan politik baharu yang matang dalam PRK Kuala Kubu Baharu.

“Saya harap bahawa seperti yang disebut oleh calon kami, mengamalkan politik baharu dan mengamalkan politik matang.

“Saya rasa serangan daripada pemimpin-pemimpin sebelah setakat ini dalam pandangan saya dia bukan satu pertandingan atas idea.

“Itu bukan satu pertukaran idea, kami bukan nak sebut siapa akan bawa (manfaat) untuk pengundi di Kuala Kubu Baharu, tetapi nak serang atas latar belakang pendidikan dia (Sock Tao) apabila Pas sendiri pun ada ahli Parlimen yang mengakui di dewan rakyat, bahawa beliau hantar anak mereka pergi SJKC,” katanya. – MalaysiaGazette