RIYADH – Malaysia dan Pakistan akan meningkatkan hubungan perdagangan kedua-dua negara yang kini bernilai AS$1.4 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara perbincangannya bersama Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan delegasi Pakistan di hari terakhir Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh.
“Saya dan PM Shehbaz menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dan perkongsian strategik antara Malaysia dan Pakistan termasuk meningkatkan hubungan perdagangan kedua-dua negara yang kini bernilai AS$1.4 bilion.
“Kami turut bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut terkait usaha mengembangkan kerjasama dalam industri dan pensijilan halal antara kedua-dua negara khususnya menerusi JAKIM dan Pihak Berkuasa Halal Pakistan,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya.
Menurut Anwar, Malaysia dan Pakistan juga berhasrat meneruskan lebih banyak kerjasama dalam bidang pendidikan, pertahanan, pelancongan dan sumber manusia.
“Perbincangan turut menyentuh kepengerusian ASEAN tahun depan. Malaysia menerusi ASEAN terbuka untuk meneroka ruang kerjasama ASEAN-Pakistan yang dapat memanfaatkan negara serantau,” ujarnya.
Dalam media sosialnya, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Hal Ehwal Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani.
“Selama hampir 20 minit perbincangan saya dan Sheikh Mohammed menyentuh pelbagai perkara penting, termasuk bertukar pandangan mengenai krisis kemanusiaan di Palestin.
“Saya sampaikan setinggi-tinggi penghargaan bagi pihak Malaysia atas peranan Qatar membantu dalam usaha membawa keluar warga Malaysia, Nurul Ain Haron dan suaminya dari Gaza pada November tahun lalu,” katanya.
Malaysia juga sedia bekerjasama dengan Qatar dan negara-negara lain di rantau ini untuk memberi bantuan dalam bentuk rawatan kepada warga Gaza yang menjadi mangsa kekejaman Israel.
“Perbincangan kami juga tertumpu pada potensi kerjasama baharu dalam bidang berkepentingan bagi kedua-kedua negara termasuklah kewangan Islam, ekonomi digital, keterjaminan makanan dan tenaga boleh diperbaharui.
“Saya dan Sheikh Mohammed juga berhasrat untuk meningkatkan pelaburan antara kedua-dua negara, serta melonjakkan hubungan perdagangan Malaysia-Qatar,” katanya. – MalaysiaGazette