Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)

KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 35 pendatang asing warga Filipina di perairan Kudat, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat perisikan dan bantuan pengesanan oleh Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah, dua bot dari Zon Maritim Kudat yang sedang melakukan rondaan Op Tiris, Op Pluto, Op Khas Pagar Laut telah mengesan dua bot pancing berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar perairan Kudat.

Beliau berkata, bot pertama ditahan di kedudukan 7.6 batu nautika dari Tanjung Simpang Mangayau manakala bot kedua ditahan di kedudukan 6.6 batu nautika dari Pulau Kalutan, Balambangan, kedua-duanya dipercayai bergerak dari Pulau Tawi-Tawi menuju ke Kota Kinabalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tersebut membawa 43 orang termasuk wanita dan kanak-kanak dalam lingkungan dua hingga 55 tahun.

“Daripada jumlah itu, 35 orang disyaki warga Filipina yang mempunyai dokumen pengenalan diri meragukan manakala lapan lagi warga tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maurice berkata, kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Zon Maritim Kudat menyeru masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia, katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast