Mohd Shukri Ramli

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Difahamkan Mohd Shukri diambil keterangan berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Jika keterangan mencukupi, menurut sumber, Menteri Besar itu akan dilepaskan.

Menurut sumber, Mohd Shukri dirakam keterangan berhubung penahanan anaknya dalam kes dakwaan tuntutan palsu berjumlah RM600,000 baru-baru ini.

Sebelum itu, anak pemimpin Pas itu ditahan bersama enam orang lagi, termasuk pegawai kanan pejabat Menteri Besar Perlis.

Sebelum ini, Mohd Shukri berkata, sekiranya hasil siasatan mendapati anaknya bersalah, pihak berkuasa berhak menjatuhkan hukum kerana tiada siapa yang kebal daripada undang-undang.- MalaysiaGazette