Foto: FB Akmal Hadi

KUALA LUMPUR – Penuh kegembiraan, selepas tujuh tahun terpisah, penjaga panda Malaysia Akmal Hadi Samsuddin berpeluang bertemu kembali Nuan Nuan, anak panda betina yang diasuhnya di Malaysia sebelum ia dihantar pulang ke China pada November 2017.

Sanggup menempuh perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke Tasik Ziqing, Zoo Hidupan Liar, di Nanjing, provinsi Jiangsu, China, pada 25 April, untuk bertemu Nuan Nuan yang ditempatkan di situ.

Nuan Nuan, anak pertama pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang, yang tiba di Malaysia pada 2014, membesar di bawah jagaan Akmal di Zoo Negara.

Nuan Nuan mempunyai tempat yang istimewa di hati Akmal dan digelar sebagai “puteri” beliau.

Semasa perjumpaan itu, Akmal sangat gembira sambil merakamkan gambar dan video puterinya malah turut membawa anak patung panda kegemaran Nuan Nuan –  memori yang menyentuh hati tentang ikatan istimewa mereka.

Fb: Akmal Hadi

Video dan foto pertemuan mereka di zoo itu, membanjiri media sosial.

Akmal juga mengembara ke barat laut Chengdu, ke Taman Panda Gergasi China di Wolong, provinsi Sichuan, yang juga dikenali sebagai pangkalan panda gergasi Shenshuping, untuk melawat satu lagi “puteri” – Sheng Yi pada 27 April.

Sheng Yi, yang dilahirkan pada 31 Mei 2021 manakala kakak sulungnya Yi Yi, yang lahir pada 14 Jan 2018, kembali ke China pada Ogos tahun lepas.

Akmal tidak dapat bertemu Yi Yi kerana panda itu belum boleh menyertai pameran awam sejak kepulangannya.

Walaupun gagal bertemu puterinya, Akmal teruja untuk kembali semula menyaksikan sendiri Yi Yi di hadapan matanya.

Akmal dalam hantaran di Facebook berkata, beliau bersyukur dapat bertemu kembali anak-anak panda kesayangannya.

“Sesungguhnya saya sangat rasa bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki di negara Tembok Besar untuk berjumpa dan menghilangkan rasa rindu  kepada anak-anak panda kesayangan saya.

“Bukanlah harapan saya ke sini untuk Nuan Nuan, Yi Yi dan Sheng Yi mengingati saya sebagai penjaga mereka sejak lahir dan datang kepada saya apabila dipanggil. Walaupun saya tahu dari pandangan mata mereka kami tetap satu keluarga.

“Memadailah sekadar saya dapat melihat keadaan terkini mereka yang sangat baik serta mereka ditempatkan di kawasan yang sangat selesa serta mendapat jagaan yang baik serta sempurna daripada penjaga-penjaga yang menyayangi mereka seperti mana kami menyayangi Nuan Nuan, Yi Yi  dan Sheng Yi.

“Besar harapan yang saya bawa dari Malaysia ke China untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan antara kami penjaga-penjaga panda Malaysia dan penjaga-penjaga panda China yang mempunyai tujuan dan matlamat yang sama.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua peminat-peminat panda yang sangat baik hati menyantuni kami sepanjang keberadaan kami di China,” katanya.

Semasa di Rizab Alam Semula Jadi Kebangsaan Wolong, Akmal juga bertemu dengan penjaga panda di sana dan berbincang mengenai rutin harian Sheng Yi. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast