Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berbeza berbeza dengan Kementerian Perpaduan Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan, peruntukan kepada JAKIM mempunyai matlamat membangunkan Malaysia Madani yang menjulang nilai agama, kesederhanaan serta saling bertoleransi akhirnya memberikan manfaat kepada negara.

“Kementerian Perpaduan Negara misinya adalah untuk meningkatkan usaha baharu penyatupaduan untuk membina tapak integrasi bagi pengukuhan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat.

“Manakala misi JAKIM pula adalah untuk memperkukuh tadbir urus hal ehwal Islam melalui pendekatan rahmah ke arah kesejahteraan ummah,” kata Na’im dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail bahawa Kementerian Perpaduan Negara berhak mendapat peruntukan yang sama atau lebih besar daripada yang diberikan kepada JAKIM.

Mohd Na’im berkata, sebanyak RM 1.9 bilion telah diperuntukkan kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tahun ini.

Peruntukan tersebut adalah melibatkan kesemua agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk JAKIM.

“Ini adalah komitmen jitu Kerajaan Madani untuk memperkukuh kedudukan agama Islam yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata Mohd. Naim.

Menurutnya, Jakim telah diperuntukan sejumlah RM730 juta kepada guru KAFA, guru takmir dan Iimam yang dilantik di seluruh Malaysia.

Bagi pengoperasian semasa sebanyak RM249 juta diperuntukan kepada Jakim di bawah perbelanjaan mengurus dan RM50 juta di bawah perbelanjaan pembangunan.

​Sejumlah RM150 juta disediakan kepada Jakim untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz.

Pada masa sama, Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20, 000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah Jakim.

Sementara sebanyak RM374 juta diperuntukan bagi tujuan memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah.

“Usaha ini dilaksana dengan memperkasa Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim-hakim mahkamah atasan dengan lebih terancang dan berkesan. Peruntukan tersebut diperuntukkan secara bersama dengan pemerkasaan Akademi Kehakiman Malaysia,” tegasnya.

Media melaporkan, Tawfik berkata, Kementerian Perpaduan Negara yang diketuai oleh Aaron Ago Dagang perlu diberi belanjawan yang lebih besar seperti Jakim atas peranannya merapatkan jurang dan memupuk hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia. -MalaysiaGazette