Suspek ditahan di Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Seorang remaja lelaki yang juga pemegang kad kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan samun dengan menyamar anggota polis di Bayan Baru, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, pencuci kereta berusia 16 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.25 tengah malam tadi di hadapan sebuah pusat mencuci kereta di Desa Permai Indah, Gelugor di sini.

Jelas beliau, tangkapan ke atas suspek dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga warga asing berumur 28 tahun yang mendakwa disamun suspek.

Antara barang yang dirampas polis dalam milikan suspek.

“Berdasarkan laporan mangsa, dia didatangi suspek yang menyamar polis sebelum meminta pasport daripada daripadanya.

“Susulan itu, suspek bertindak menumbuk muka mangsa. Bagaimanapun, sebaik melihat pisau dalam raga motosikal suspek, mangsa bertindak melarikan diri.

“Dalam tangkapan tersebut polis turut merampas sebuah motosikal bersama beg silang, sebilah pisau, sarung tangan, topi keledar, telefon bimbit, baju dan wang syiling sebanyak RM35 bagi siasatan lanjut,” katanya hari ini.

Tambah Jafri, suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 5 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette