Tok Batin Orang Asli, Asu Dollah bercakap kepada media mengenai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu ketika di Kampung Tun Razak, Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD ADZLAN, 30 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Masyarakat Orang Asli di Kuala Kubu Baharu mengharapkan lebih banyak pembangunan sama ada dalam bentuk fizikal mahu pun kerohanian dapat dibawa ke tempat mereka selepas mendapat wakil rakyat baharu nanti.

Rata-rata penduduk Orang Asli ketika ditemui MalaysiaGazette menyatakan, isu pendidikan masih lagi menjadi perkara utama perlu dititik beratkan.

Perkara lain yang wajar diberikan perhatian adalah peluang pekerjaan yang masih lagi menjadi kebuntuan utama.

Remaja perempuan orang asli dari suku kaum Temuan yang memakai pakaian tradisional mereka melakukan persembahan tarian sewang pada majlis Ramah Mesra bersama Orang Asli Kampung Tun Razak sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu ketika di Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 29 APRIL 2024.

Fendi Bahsudin, 39, berkata, pendidikan kepada anak-anak Orang Asli adalah perkara yang sangat penting dalam membangunkan kehidupan kaum itu ke aras yang lebih baik.

Fendi Bahsudin. Foto: MOHD ADZLAN, 30 APRIL 2024.

Katanya, mereka juga perlu diberikan diberikan pendidikan sama seperti masyarakat lain agar mereka dapat sama bersaing untuk membangunkan negara.

“Memang pendidikan ini sangat pentinglah untuk semua orang, kami pun merasakan begitu.

“Kalau boleh kami nak kerajaan pertingkatkan lagilah peluang-peluang pendidikan terbuka kepada anak-anak Orang Asli sama ada dari segi bantuan untuk belajar atau apa sahaja yang dirasakan perlu,” katanya.

Bagi Nana Bajitun, 60, pula, isu berkaitan peluang pekerjaan perlu diberi keutamaan terlebih dahulu kerana dengan adanya peluang itu masyarakat Orang Asli tidaklah merasa mereka dipinggirkan.

Nana Bajitun.Foto MOHD ADZLAN, 30 APRIL 2024.

Ini kerana katanya, kebanyakan Orang Asli di Kuala Kubu Baharu hanya bekerja sendiri seperti menoreh getah dan ada yang hanya mengambil upah berkebun atau membuat kerja-kerja pembersihan.

“Ya, memang pekerjaanlah yang penting di sini…ramai yang hanya bekerja sendiri dan sudah tentulah pendapatannya itu tidak seberapa.

“Lagi pun, sekarang ini susah nak dapatkan pekerjaan. Jadi, kerajaan atau wakil rakyat kami nanti diharap dapat bantu selesaikan masalah ini,” ujarnya.

Sementara itu, Tok Batin Orang Asli, Asu Dollah masih mengharapkan agar kemudahan infrastruktur iaitu sambungan elektrik di Bukit Gantung dekat Sungai Relung yang permohonannya masih belum diluluskan oleh pihak berkenaan dapat dipercepatkan.

Jelasnya, permohonan mengenai perkara itu telah dibuat sejak 2018 lagi, namun sehingga kini masih belum bertemu jawapan.

“Bukan kita marah kepada kerajaan, tak…tapi kita menunggu, kita sabar. Saya harap kalau calon ini menang (Pakatan Harapan) kita mahu apa yang disuarakan dapat diselesaikan…Itu yang kami minta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Asu menaruh keyakinan undi masyarakat Orang Asli akan memihak kepada calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao.

Katanya, perkara itu dapat dibuktikan menerusi keputusan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu di mana undi Orang Asli telah memenangkan mendiang Lee Kee Hiong.

“Memang undi kami masyarakat Orang Asli beri kepada Barisan Nasional (BN). Sekarang ini BN berada dalam Kerajaan Perpaduan yang sekutunya adalah DAP.

“Kami tidak lagi keliru dalam hal ini kerana saya yakin masyarakat Orang Asli juga tahu dalam membuat pilihan demi masa depan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast