Warga emas Zainol Ishak, 73, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan wang milik koperasi yang dipengerusikannya berjumlah RM422,440.

SEREMBAN – Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan wang milik koperasi yang dipengerusikannya berjumlah RM422,440.

Pengakuan Zainol Ishak, 73, yang merupakan pengerusi Koperasi Felda Palong Empat Negeri Sembilan Berhad direkodkan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, Zainol didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang daripada akaun bank milik koperasi itu untuk kegunaan dirinya antara Ogos 2020 hingga November 2021 di sebuah bank di Jalan Tampin, Gemas dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Shahidah Muslimah Roslan merayu jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan pendakwaan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung isteri dan empat cucu yang kematian ayah serta menghidap penyakit darah tinggi.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain menetapkan sebutan semula kes pada 30 Mei ini. – BERNAMA