M. Kumar

KUALA LUMPUR – Polis Johor menyerbu dua premis kediaman di sekitar bandar raya itu kerana disyaki beroperasi sebagai pusat panggilan yang menawarkan pelaburan dan tawaran kerja yang tidak wujud.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, seramai 11 orang termasuk dua lelaki tempatan, lapan lelaki dan seorang wanita warga asing berumur antara 28 hingga 45 tahun ditahan.

Beberapa telefon bimbit, komputer riba dan kad ATM turut dirampas.

Kumar berkata, sindiket ini mensasarkan mangsa dari luar negara dengan modus operandinya menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Telegram.

“Kumpulan ini dipercayai menggunakan mata wang kripto sebagai medium pembaayaran dan menawarkan penjualan talian telefon bimbit luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebatan. – MalaysiaGazette