PUTRAJAYA – Buat julung-julung kalinya, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memperkenalkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan sempena sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat Kebangsaan hari ini.
Kerangka itu mengandungi Tiga Teras, 11 Strategi, 48 Perkara, 5 Pemacu Perubahan, 2 Pemangkin Dasar, kata menterinya Steven Sim hari ini.
Menurutnya, kerangka ini dihasilkan selepas mengambil kira maklum balas pemegang taruh dan orang ramai melalui sesi libat urus, kumpulan tumpu bincang, sesi town hall dan portal kaji selidik atas talian.
“Lebih 2,000 maklum balas telah diterima dan dijadikan pertimbangan untuk menghasilkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan ini.
“Kerangka ini merangkumi isu-isu penting berkaitan pekerja seperti pampasan upah yang lebih lumayan, kesejahteraan pekerjaan, Gerakan kesatuan sekerja, perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh, tenaga kerja golongan rentan seperti Wanita, warga emas dan OKU, hal ehwal pekerja, sector gig, isu berkautan Latihan kemahiran, ketidakpadanan pekerjaan,tenaga kerja asing, kesan teknologi seperti Kecerdasan Buatan ke aras pasaran kerja dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pagi hari ini.
Tema sambutan Hari Pekerja kali ini adalah ‘Pekerja Kesuma Bangsa dan sebanyak 12 kategori anugerah termasuk dua kategori baharu iaitu Anugerah Penjawat Awam dan Media (individu) diperkenalkan pada sambutan pada kali ini.
Kerangka berkenaan akan menjadi panduan untuk menghasilkan Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang lengkap menjelang Rancangan Malaysia Ke-13.
Dalam perkembangan sama, Kesuma mengakui perjuangan dalam isu pekerja di negara ini masih belum selesai.
“Kesuma juga sedar pampasan upah lebih baik berkait rapat dengan keberhasilan yang lebih tinggi dan ia boleh dicapai dengan kemahiran yang lebih tinggi.
“Untuk tahun ini Kesuma akan turun secara all out untuk pelaksanaan latihan kemahiran bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia.
“Kesuma akan memperuntukkan RM2.56 billion bagi menyediakan pelbagai laithan kemahiran untuk rakyat Malaysia termasuk bidang Kecerdasasan Buatan (AI), robotik, pengkodan komputer, teknologi 5G dan kemahiran dalam ekonomi hijau.” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette