KUALA KUBU BAHARU – Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao yakin kempennya bertemu pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu telah mencapai lebih daripada 50 peratus.
Bercakap kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada sesi walkabout di pekan Kuala Kubu Baharu hari ini, Sock Tao memberitahu, dia sangat seronok dengan kempennya kerana diterima dengan baik daripada masyarakat setempat.
Bagaimanapun, beliau berkata, kebanyakan kempen yang dilakukan setakat ini masih lagi ditempat yang sama.
“Saya seronok dengan kempen saya ini sebab ramai yang saya jumpa beri reaksi yang positif.
“Tapi, saya perlu bekerja lebih keras lagi untuk berjumpa dengan masyarakat setempat supaya saya dapat informasi berkenaan mereka,” katanya.
Sock Tao berkata, masuk hari yang kelima pada hari ini, dia masih lagi bertenaga dan tidak akan berhenti daripada bergerak bersama dengan jentera-jenteranya.
Katanya, dia sangat menghargai kerja kuat yang ditunjukkan oleh jentera PH meskipun keadaan cuaca ketika ini tidak menentu terutama pada sebelah petang.
Tambah beliau, dia masih bersemangat untuk terus berkempen sehingga hari mengundi ekoran sokongan padu oleh jenteranya yang menjadi nadi kekuatan untuk terus berjuang.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, mendiang menewaskan Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April lepas hingga 11.59 malam, 10 Mei.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei, manakala, pengundian awal pada 7 Mei. – MalaysiaGazette