Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada majlis penyerahan Dana Kreatif Perak@PORT atau DKP dalam usaha Kerajaan Negeri kepada penggiat seni dan usahawan kreatif negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto : Abdullah Yuso

IPOH – Kerajaan negeri Perak tidak menolak cadangan untuk menaikkan gaji penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun kenaikan itu bergantung kepada kedudukan kewangan negeri.

“Setakat ini, kita belum menerima sepenuhnya pekeliling, biasanya Exco kerajaan negeri akan buat keputusan setelah kita dapat pekeliling tersebut. Jadi, kena sabarlah dulu.

“Lazimnya kita akan ikut (keputusan kerajaan Persekutuan) tetapi tengok kepada kemampuan kewangan dan juga mematuhi pekeliling.

“Pekeliling itu bergantung kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), cepat kita dapat (pekeliling) cepat kita kaji,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan Dana Kreatif Perak@PORT atau DKP kepada penggiat seni dan usahawan kreatif negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Saarani berkata, untuk rekod hampir 9,000 kakitangan awam di negeri ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus bermula 1 Disember depan.

Pengumuman itu dibuat ketika Anwar menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – MalaysiaGazette