Nga Kor Ming.

HULU SELANGOR – Perikatan Nasional (PN) telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai pengumuman peruntukan RM5.21 juta yang dibuat oleh Menteri Pembangunan  Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baru.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendesak SPR supaya mengambil tindakan kepada pihak yang melanggar peraturan pilihan raya.

“Ini menimbulkan tanda tanya sejauh mana penguatkuasaan SPR, undang-undang pilihan raya ke atas pihak kerajaan. Kalau pembangkang buat silap sikit pasti kena tindakan. Tapi kerajaan dibiarkan begitu sahaja.

“Jadi mohon jawapan SPR tentang amalan dwi standard.

“Kita sudah pun hantar laporan dan aduan kepada SPR malah kalau ikutkan Bersih sendiri sudah tanya, mempersoalkan amalan tatakelola yang melanggar undang-undang pilihan raya. Sudah lebih seminggu kita berkempen, banyak pelanggaran undang-undang dibuat oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengarusikan Mesyuarat Khas Pemuda Perikatan Nasional di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional PRK N.06 Kuala Kubu Baharu.

Terbaharu, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa terdapat gambar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengedarkan sampul yang tidak dapat dipastikan isinya.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, Pakatan Harapan dan DAP sebelum ini bersungguh-sungguh menjalankan kempen mengenai amalan tadbir urus dan tatakelola yang baik.

Bagaimanapun, selepas menjadi kerajaan, PH seolah-olah melupakan prinsip perjuangannya sebelum ini.

“Sayang sekali selepas membentuk Kerajaan Persekutuan untuk kali kedua, sikap sebenar PH dan DAP mula terzahir.

“Projek bernilai RM5.1 juta oleh Kor Ming untuk warga Kuala Kubu Baharu, DAP beri jawapan yang merendahkan nilai intelektual rakyat ‘kerana KKB ada ong’.

“Adakah Nga Kor Ming memandang kecil kritikan dan kegusaran rakyat. Zahir sikap hipokrit para pimpinan PH dalam isu tatakelola dan tadbir urus baik,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, KPKT sudah memperuntukkan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah kelolaannya, untuk kesejahteraan penduduk sekitar Hulu Selangor.

KPKT dalam kenyataannya berkata, peruntukan itu membabitkan 14 projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM4.16 juta disalurkan melalui MPHS, manakala RM664,000 disalurkan kepada MPKK di Hulu Selangor. – MalaysiaGazette