Foto hiasan.

KUALA LUMPUR – Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan pada 11 pagi tadi menunjukkan satu stesen mencatatkan kualiti udara pada tahap tidak sihat iaitu di Stesen Rompin, Pahang disebabkan kebakaran setempat.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata sementara itu, sebanyak 35 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, manakala 29 kawasan merekodkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

Sementara itu, katanya letusan semula Gunung Berapi Ruang, di Sulawesi Utara pada 30 April lepas tidak menjejaskan kualiti udara di Malaysia dengan asap debu letusan tidak memberi kesan ketara kepada bacaan IPU stesen-stesen pengawasan kualiti udara di Malaysia.

“Tiada peningkatan bacaan pencemar pepejal terampai (PM2.5 dan PM10), Sulfur Dioksida (SO2), Nitrogen Dioksida (NO2), Ozon (O3) dan Karbon Monoksida (CO) yang berpunca daripada asap debu letusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa dan bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk di laman web JAS melalui alamat url, http://apims.doe.gov.my/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU menerusi Google Play. – BERNAMA